Himpunan pantun Melayu zaman-berzaman yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ini antara barisan pantun yang cukup popular yang mudah diingati dan tinggi nilai estetika.
Yang mana satu pantun Melayu pilihan anda? Mana satu pantun yang anda masih ingat sejak mula-mula mempelajarinya sewaktu zaman sekolah dahulu sehingga lah sekarang. Manakah pantun yang paling anda suka?
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang dua;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya tak mahu.
Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing belang;
Dua tiga boleh ku cari,
Manakan sama adik seorang.
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Biarpun jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh lah kita berjumpa lagi.
Kalau ada pantun lain yang “popular” yang masih terngiang-ngiang di telinga dan terus melekap di minda, sila-sila kan lah berkongsi. In shaa Allah, saya akan ‘update’ kan perkongsian itu agar para pembaca lain boleh turut sama mengundi pantun mana yang menjadi pilihan hati.
Leave a Reply