Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Tahun mana bulan mana,
Dapat kita berjumpa lagi?
Dian tiga lilin pun tiga,
Obor tergantung rumah laksamana;
Diam juga sabar pun juga,
Ada umur tidak ke mana.
Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Hari ini menanam jagung,
Hari esok menanam serai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bersurai.
Satu lagi ‘surai’ lepas makan jagung… pabila siang berganti malam…
Malam ini menanam jagung,
Malam esok menanam serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai.
Yang lebih klasik…
Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.
Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tak mahu bercerai,
Kehendak Allah siapa tahu?
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Pabila kekasih hendak merantau mencari rezeki…
Orang Aceh sedang sembahyang,
Hari Jumaat tengah hari;
Pergilah kasih pergilah sayang,
Pandai-pandailah menjaga diri.
Gunung Pantai tinggi merawan,
Nampak dari padang temu;
Berat hati hendak ku tinggalkan,
Ada jodoh kita bertemu.
Sayang Sarawak sungainya sempit,
Buah nenas lambung-lambungan;
Hendak ku bawa perahuku sempit,
Tinggallah emas tinggal junjungan.
Bintang Barat terbit petang,
Bintang Timur terbit pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi.
Harum sungguh bunga melati,
Kembang setangkai di waktu pagi;
Hancur sungguh rasa di hati,
Sedang berkasih ditinggal pergi.
Hujan turun badan pun basah,
Batang galah haluan perahu;
Niat di hati tak mahu berpisah,
Gelisah pasrah siapa yang tahu.
Mana Manggung, mana Periaman,
Mana batu kiliran taji;
Tinggal kampung tinggal halaman,
Tinggal tepian tempat mandi.
Kalau jadi pergi ke ladang,
Kain panjang cari dahulu;
Kalaulah jadi pergi berdagang,
Induklah semang cari dahulu.
Tuan puteri pergi ke Rasah,
Pulang semula sebelah pagi;
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizin Tuhan bersua lagi.
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Walau jauh di negeri satu,
Hilang di mata, di hati jangan.
Leave a Reply