Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang dua;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Beberapa bait lagi pantun budi berkait dengan kehidupan. Sila undi pantun-pantun pilihan hati.
Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.
Kalau ada lenggundi pahit,
Mari taruh dalam celepa;
Kalau ada budi yang baik,
Sampai mati tidak kulupa.
Bunga Cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab budi emas terbuang.
Burung kedidi disambar lang,
Bawa naik ke pokok tinggi;
Budi tuan mana nak hilang,
Sudah mesera di dalam hati.
Teritip tiram tergantung,
Limau manis banyak bijinya;
Pilih-pilih muda sekampung,
Hitam manis baik budinya.
Tingkap kayu papan bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Terbang kumbang jantan betina,
Sering di bunga kuntum di pangkal;
Berapa banyak ilmu pesona,
Busuk budi nanti tertinggal.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Anak balam terlompat-lompat,
Kena duri pada kakinya;
Tengah malam bangun bersikat,
Adalah budi pada hatinya.
Banyak orang panjat kelapa,
Kelapa dipanjat kebun Cina;
Budi tiada, hodoh rupa,
Kepada orang tiada berguna.
Leave a Reply